Tuesday, 2 September 2014

Kajian Tindakan Ke Ponteng Sekolah Murid-murid Orang Asli

PENGGUNAAN TOKEN DALAM MENGURANGKAN MASALAH KETIDAKHADIRAN MURID-MURID ORANG ASLI.

1.0 PENDAHULUAN
Menurut para pengkaji sejarah, kepulauan Melayu telah mula diduduki oleh manusia yang dipanggil Austronesian atau Malayo-Polynesia sekitar 5,000 tahun dahulu. Mereka ini dikatakan berasal daripada Selatan China (Yunan) dan Taiwan. Penghijrahan mereka ke selatan adalah secara ’sporadic’, ’irregular’ dan ’incremental’. Bermula dari Filipina menganjur ke pulau-pulau Indonesia sehingga ke penghujung tanah besar Asia, pulau-pulau Pasifik dan Madagascar. Majoriti Orang Asli di Malaysia (termasuk kaum Bumiputera) yang menghuni kawasan Indo-Malaya sekarang ini adalah keturunan daripada manusia Austranesian awal ini. Hasil daripada Banci Penduduk JHEOA 2004, jumlah populasi Orang Asli Malaysia ketika ini ialah seramai 141,230 orang. Mereka terbahagi kepada tiga Kumpulan Kaum Orang Asli iaitu, Melayu Proto (Proto-Malay), Negrito dan Senoi yang membentuk 18 Rumpun Bangsa.

1.1       Pengenalan
Sejak dahulu lagi masyarakat Orang Asli telah hidup di dalam masyarakat yang terasing dan kurang mendapat perkhidmatan sempurna terutama dalam pendidikan dan kesihatan. Jika dilihat dari segi demografi penduduk Orang Asli, kedudukan geografi yang terletak jauh di kawasan pendalaman telah mengukuhkan pemikiran di kebanyakan masyarakat Orang Asli bahawa tiada faedah untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Mengikut perangkaan daripada keluaran Utusan Malaysia, Mei 2007 terdapat lebih kurang 80% kanak-kanak Orang Asli yang tidak pernah menamatkan persekolahan di peringkat sekolah menengah.
            Berdasarkan Kajian SUHAKAM pula mendapati masyarakat Orang Asli menghadapi masalah mendapatkan pendidikan yang berkualiti. SUHAKAM juga mendapati terdapat sesetengah kanak-kanak Orang Asli tidak bersekolah langsung. Malah ramai yang tidak menamatkan persekolahan. Secara umumnya, ibu bapa masyarakat Orang Asli masih tidak berminat dengan pendidikan. Mereka melihat sekolah sebagai suatu tempat untuk menghantar anak-anak mereka untuk bermain dan makan. Tetapi apabila mereka melihat masyarakat luar menunjukkan minat terhadap pendidikan anak-anak Orang Asli, mereka menjadi lebih sedar tentang perlunya pendidikan. Menurut Abdul Razaq Ahmad dan Zalizan Mohd Jelas (2009), masih sukar untuk mengubah persepsi mereka disebabkan oleh kurangnya bantuan dan sokongan untuk pendidikan anak-anak Orang Asli.
            Sejak tahun 2011 Sekolah A mempunyai 2 orang murid Orang Asli yang telah memasuki Kelas Integrasi Pendidikan Khas. Sejak itu, guru mendapati terdapat masalah pendidikan dalam pembelajaran murid berkenaan. Dimana murid berkenaan selalu tidak hadir ke sekolah. Oleh itu, Proposal Kajian Tindakan ini bertujuan untuk mengenalpasti punca-punca utama yang mengakibatkan murid selalu tidak hadir ke sekolah. Tindakan ini bertujuan untuk melihat permasalahan mengenai isu persekolahan kanak-kanak Orang Asli dan hak mereka terhadap pendidikan.

1.2       Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Yang Lalu.
Pengkaji telah menganalisis kehadiran anak-anak Orang Asli di Sekolah A dan mendapati murid Orang Asli di Sekolah A selalu tidak hadir sekolah secara berpola, walaupun telah dinasihati secara berulang kali tetapi murid tersebut tetap mengulangi perbuatan tersebut. Oleh itu, pengkaji telah mengambil keputusan menyediakan proposal kajian tindakan ke atas kemerosotan kehadiran murid-murid Orang Asli di Kelas Integrasi Pendidikan Khas. Apabila dipantau dan dibuat analisis terhadap jadual kedatangan murid, didapati murid yang sama tidak hadir ke sekolah dengan kerap dan mempunyai pola tertentu.
Pengkaji berpendapat bahawa murid-murid ini mungkin telah selesa dengan sikap keluarga mereka yang mengambil sikap acuh tak acuh dalam soal pendidikan. Pada mulanya pengkaji telah menegur dan menasihati murid-murid Orang Asli berkenaan namun demikian mereka masih tidak mengendahkan nasihat guru.

1.3       Refleksi Sorotan Literatur
Ketidakhadiran murid-murid Orang Asli ini biasanya berpunca daripada pengaruh persekitarannya. Contohnya, seorang murid Orang Asli yang kerap melihat rakan-rakannya ponteng sekolah, maka akhirnya murid ini sendiri akan terikut-ikut dengan perbuatan rakannya itu. Pada kali pertama melakukannya, mungkin terasa janggal dan takut tetapi setelah melakukan berulang kali, akhirnya tabiat tersebut akan menjadi kebiasaan kepada pelajar ini. Seperti mana yang diketahui bahawa perubahan yang berlaku di dalam diri seseorang adalah disebabkan oleh pengalaman. Oleh kerana murid Orang Asli ini sudah melakukan perkara tersebut berulang kali, akhirnya pengalaman tersebut digunakan sebaik mungkin untuk lebih kerap ponteng sekolah.
            Menurut Teori Pelaziman Klasik Pavlov (1849-1936) dalam buku Mok Soon Sang (2006), beliau mengatakan pembelajaran berlaku akibat wujudnya rangsangan dan gerakbalas. Aktiviti ketidakhadiran murid ini berlaku berdasarkan konsep rangsangan dan gerakbalas. Contohnya, apabila terdapat subjek atau mata pelajaran dan mungkin guru yang tidak diminati maka pelajar ini akan ponteng sekolah. Sikap ini sekiranya tidak di kawal akan terbawa-bawa sehingga menjadi kebiasaan. Kita lihat di sini bahawa guru dan mata pelajaran tersebut dianggap sbagai rangsangan manakala ketidakhadiran murid berkenaan dianggap sebagai gerak balas.
            Dalam Teori Pembelajaran Sosial Bandura (1925) dalam Mok Soon Sang (2006), mengatakan bahawa kelakuan manusia saling bertindak antara kognitif, kelakuan dan ejen penentu persekitaran. Pengkaji berpendapat bahawa tindakan yang dilakukan oleh murid berkenaan adalah berdasarkan proses peniruan. Murid-murid ini memerhatikan tindakan murid lain dan akhirnya pembelajaran berlaku di mana murid ini akan meniru perlakuan rakannya. Pada peringkat sekolah rendah, kebanyakan tindakan ponteng sekolah ini didorong oleh naluri murid itu sendiri tanpa menyedari kesan negatif serta akibatnya daripada perbuatan yang dilakukan.  
            Selain itu, konflik dalaman, dorongan, kemahuan dan motif-motif yang tidak disedari adalah beberapa faktor yang menyebabkan ketidakhadiran murid-murid ke sekolah. Konflik dalaman ini adalah seperti konflik dengan rakan sekolah, guru-guru atau dengan ahli keluarga. Apabila berlaku situasi sedemikian, murid-muird ini tidak dapat mencari jalan penyelesaian yang baik, lalu mereka mengambil tindakan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengatasi maslah ini.
            Justeru, bagi mengatasi masalah ini,sistem token diperkenalkan dan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Merujuk buku Teori Motivasi Al-Ghazali dalam Yatimah Sarmani dan Tajudin Lingal (2005), tingkah laku manusia mempunyai tujuan agama dan kemanusian. Setiap tingkah laku manusia adalah berasaskan dorongan serta tujuan. Motivasi ini boleh dirangsang oleh rangsangan-rangsangan luar atau dalaman yang berkaitan dengan keperluan fisiologi dan emosi. Motivasi akan mendorong seseorang individu melakukan sesuatu. Tingkah laku yang timbul adalah berkaitan dengan perasaan dan kesedaran terhadap sesuatu situasi itu.
            Oleh yang demikian, pengkaji telah mengambil keputusan untuk menggunakan teknik pengubahsuaian tingkah laku menggunakan sistem token. Teknik sistem token ini merupakan satu modifikasi tingkah laku yang dirancang untuk meningkatkan tingkah laku yang diinginkan serta mengurangkan tingkah laku yang tidak diinginkan dengan menggunakan token. Individu diberi token setelah menunjukkan tingkah laku yang diinginkan dan mengumpul token tersebut serta menukarkannya dengan sesuatu objek atau penghargaan. Sistem ekonomi token ini merupakan sistem ‘reinforcement’ untuk tingkah laku yang dirancang. Individu tersebut mesti diberi ganjaran untuk meningkatkan perilaku yang dikehendaki.
Melalui kaedah ini pengkaji berpendapat individu akan terangsang serta bermotivasi untuk melakukan perubahan tingakah laku bagi mendapatkan token. Pengkaji percaya bahawa suatu token ekonomi yang dirancang dengan baik akan menghasilkan perubahan tingkah laku yang dikehendaki terutamanya jika individu itu memilih motif motivasinya sendiri.

2.0 FOKUS KAJIAN / ISU KEPRIHATINAN
Pendidikan adalah mustahak dalam membentuk generasi muda yang dapat memainkan peranan penting di dalam perkembangan sesebuah masyarakat mengikut keadaan dunia semasa. Oleh itu, adalah penting pihak yang bertanggungjawab memastikan semua kanak-kanak mendapat pendidikan asas, khasnya kaum minoriti yang tinggal di pedalaman dan kawasan terpinggir. Di Malaysia, pendidikan di peringkat sekolah rendah telah diwajibkan melalui Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) & Peraturan-Peraturan Terpilih (Hingga 15hb Disember 2003). Oleh itu, adalah wajar bagi pihak berkuasa untuk memberi perhatian terhadap kemasukan kanak-kanak Orang Asli ke sekolah.
Terdapat beberapa undang-undang di peringkat domestik dan antarabangsa yang menjamin hak pendidikan Orang Asli. Walaupun kebanyakan undang-undang kebangsaan tidak merujuk secara khusus kepada Orang Asli, namun secara umumnya ia menjamin hak pendidikan Orang Asli. Triti hak asasi di peringkat antarabangsa juga banyak yang menyebut mengenai hak pendidikan Orang Asli sama ada secara langsung atau tidak langsung. Berikut adalah beberapa perundangan dalam negara dan triti hak asasi manusia di peringkat antarabangsa yang berkaitan dengan hak pendidikan. 
Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak merujuk secara khusus kepada hak pendidikan Orang Asli. Namun, ia menyatakan bahawa tiada sebarang diskriminasi dibenarkan dari segi kemasukan dan bantuan kewangan yang diberikan untuk tujuan pendidikan.
 Perkara 12: Hak berkenaan dengan pendidikan.  (1)  Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 81, tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir.
(a) dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang  disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam khususnya, kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau pembayaran yuran;  atau
(b)  dalam memberikan bantuan kewangan daripada wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama ada di dalam atau di luar Persekutuan).
            Manakala Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) dalam Artikel 17 Orang Asli tidak boleh dilarang masuk ke mana-mana sekolah.
(1) “Tiada kanak-kanak Orang Asli boleh dihalang daripada pergi ke mana-mana sekolah semata-mata oleh sebab dia Orang Asli”. Malah berdasarkan kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), dasar Kementerian Pelajaran Malaysia adalah bertujuan untuk merapatkan jurang pendidikan antara lokasi, tahap sosioekonomi, dan tahap keupayaan pelajar. 
 Matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia juga adalah untuk memastikan semua sekolah dan pelajar mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk cemerlang termasuklah daripada Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan. Untuk mencapai matlamat tersebut, jurang pendidikan yang perlu dirapatkan supaya akses, ekuiti, dan kualiti dapat ditingkatkan adalah jurang bandar dan luar bandar, jurang digital, jurang antara tahap pencapaian pelajar, jurang antara pelajar normal dan pelajar berkeperluan khas dan jurang sosioekonomi.
Merujuk kepada dasar dan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia yang mementingkan kesamarataan peluang pendidikan, kajian ini dijalankan untuk mengetahui sejauh manakah matlamat ini tercapai berikutan kadar keciciran pendidikan dikalangan masyarakat orang asli masih lagi tinggi.
Namun demikian, walaupun pelbagai pihak telah memberikan sokongan yang padu kepada kanak-kanak masyarakat Orang Asli tetapi masih ada masyarakat Orang Asli yang jarang menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Selain itu, mereka juga tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada pendidikan anak-anak mereka bak kata pepatah Melayu upama “melepas batuk di tangga”. Mereka bersikap acuh tak acuh dalam pengurusan pendidikan anak-anak mereka. Diantaranya dalam urusan penjagaan makanan sebelum ke sekolah, urusan perbelanjaan anak ke sekolah, urusan pakaian anak ketika ke sekolah dan mereka juga seringkali tidak mengendahkan kehadiran anak-anak di sekolah. Mereka juga seringkali tidak melibatkan anak-anak mereka dalam aktiviti kokurikulum.
Berdasarkan refleksi pengajaran dan pembelajaran yang lalu, jelaslah bahawa terdapat pelbagai masalah yang dihadapi oleh pihak Sekolah A bagi meningkatkan kesedaran dalam diri masyarakat anak-anak Orang Asli agar menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Namun, kajian ini akan memfokuskan kepada intervensi untuk mengurangkan masalah ketidakhadiran murid-murid Orang Asli ke sekolah. Ini adalah kerana kehadiran anak-anak Orang asli amat penting dalam merealisasikan aspirasi Negara.
                        Justeru, pengkaji telah mengambil inisiatif untuk menjalankan kajian tindakan terhadap punca masalah yang dihadapi oleh murid bagi meningkatkan kehadiran mereka. Pengkaji telah menjalankan kajian tindakan dengan menggunakan beberapa analisis seperti temubual, soal jawab, soal selidik dan analisis data kehadiran murid sepanjang tahun ini.

            Pemilihan fokus kajian ini dinilai berdasarkan kepada kriteria-kriteria yang berikut:
  1. Kebolehtadbiran
Pengkaji telah memaklumkan kepada pihak sekolah bahawa pengkaji akan menjalankan kajian tindakan di sekolah tersebut. Oleh itu, pengkaji telah mendapat bantuan daripada Guru Besar  dan guru-guru sekolah  untuk mendapatkan tajuk kajian yang paling sesuai dijalankan. Pengkaji telah mendapat kerjasama yang baik daripada warga Sekolah  A bagi menjalankan kajian ini.
  1. Kepentingan
Pengkaji mendapati adalah penting bagi pengkaji untuk melakukan kajian ini sebelum masalah ini tidak dapat dirawat lagi. Ini kerana kehadiran anak-anak Orang Asli ini akan mengubah masyarakat Orang Asli agar lebih bertamadun dan berinformasi. Pengkaji haruslah membantu sekolah dalam menangani masalah ketidakhadiran murid-muird Orang Asli.
  1. Kebolehgunaan
Kajian yang akan dijalankan ini bukan sahaja boleh digunakan oleh pengkaji malah boleh dijadikan panduan kepada guru-guru sekolah dalam menangani masalah ketidakhadiran murid ke sekolah. Walaupun amat sukar untuk mengubah sikap masyarakat Orang asli tetapi kita sebagai seorang pendidik harus menyahut cabaran ini bagi mengubah nasib masa depan masyarakat anak-anak Orang Asli. Pengkaji juga dapat berpeluang untuk memilih dan mencuba kaedah yang baru bagi menarik perhatian murid-murid Orang Asli dalam pendidikan.
  1. Kawalan
Walaupun kaedah yang digunakan bagi meningkatkan kehadiran murid-murid anak Orang Asli ini adalah sukar dan memerlukan kos dan pengorbanan guru dari segi masa dan tenaga. Pengkaji percaya bahawa suatu hari nanti pengkaji dapat membawakan perubahan yang besar kepada masyarakat Orang Asli. Malah pengkaji juga turut dapat meningkatkan pengajaran dan pembelajaran murid-murid Orang Asli di Kelas Integrasi Pendidikan Khas.


  1. Kolaborasi
Sepanjang menjalankan kajian ini, pengkaji telah mendapat kerjasama yang baik daripada pihak pentadbir dan juga masyarakat sekeliling terutamanya ibu bapa kanak-kanak Orang Asli. Pengkaji mendapati bahawa pengkaji perlu sentiasa berkolaborasi dengan pihak pentadbir dan guru-guru ini kerana mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengurusan sekolah. Guru Penolong Kanan HEM juga telah banyak memberikan idea bagi menjalankan kajian ini dengan baik. Mereka  telah memberikan pendapat tentang cara mendapatkan maklumat daripada Tok Batin masyarakat Orang Asli.

  1. Kerelevanan
Kajian yang dilakukan juga sesuai dipraktikkan oleh semua guru di sekolah semasa menangani masalah ketidakhadiran murid ke sekolah.

2.1    Tinjauan Masalah
Pengkaji telah menggunakan tiga instrumen bagi melihat keberkesanan penggunaan token dalam mengurangkan masalah ketidakhadiran murid-murid Orang Asli. Diantaranya ialah melalui soal selidik, sesi temubual dan pemerhatian pengkaji sepanjang kajian dijalankan.

Jadual 1: Cara Tinjauan Masalah
Langkah
Cara Tinjauan Masalah
Kumpulan Sasaran
Tujuan
Langkah 1
Pemerhatian
Mencatatkan pemerhatian menggunakan Analisis Jadual Kedatangan Murid.
2 orang murid Kelas Integrasi Pend. Khas
-       Melihat kekerapan ketidakhadiran murid ke sekolah.
-       Melihat Jadual Kedatangan Murid.
Langkah 2
Soal Selidik
Ujian dengan menggunakan soal selidik yang diedarkan kepada guru-guru dan ibu bapa anak-anak Orang Asli seperti Lampiran 1 dan 2
2 orang guru Sekolah A yang terlibat dan 2 orang ibu bapa anak-anak Orang Asli.
-       Mengenal pasti punca atau kekangan masyarakat Orang Asli untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah
Langkah 3
Temubual
Temubual dengan ibu bapa murid berkenaan.
Ibu bapa kepada 2 orang murid pendidikan khas yang berketurunan Orang Asli.
-       Mengkaji masalah utama murid tersebut tidak dapat hadir ke sekolah.


2.1     Analisis Masalah
Berdasarkan hasil pemerhatian semasa tinjauan awal dilakukan, terdapat 2 orang murid yang mempunyai masalah dari segi kehadiran. Analisis ini menunjukkan kekerapan ketidakhadiran murid sepanjang Januari hingga Jun 2014. Jadual 2 di bawah menunjukkan hasil pemerhatian awal yang telah dijalankan terhadap subjek.
Jadual 2 : Hasil pemerhatian tinjauan awal terhadap kehadiran murid.
Sampel
Pemerhatian/ Kekerapan Ketidakhadiran Murid-murid Orang Asli

Jumlah Kekerapan
1
Jan
2
Feb
3
March
4
April
5
Mei
6
June
Murid X
11
13
11
11
13
7
66
Murid Y
18
14
9
13
12
10
76

Kedua-dua subjek didapati kerap tidak hadir ke sekolah sejak awal tahun lagi. Kekerapan ketidakhadiran ini sangat jelas dapat dilihat daripada data kehadiran murid yang diambil daripada Fail Jadual Kedatangan Murid-Murid Kelas Pendidikan Khas. Berdasarkan data jadual diatas kita dapat merumuskan bahawa hampir 50% dalam setiap bulan bermula dari bulan Januari hingga bulan Jun, Murid X dan Y kerap tidak hadir ke sekolah. Jadual diatas juga menunjukkan Murid Y lebih kerap tidak hadir ke sekolah berbanding Murid X.

3.0       OBJEKTIF
3.1       Objelktif Kajian
Tujuan kajian ini dijalankan untuk;
  1. Melihat masalah ketidakhadiran subjek kajian dan punca-puncanya.
  2. Mengkaji keberkesanan penggunaan token dalam meningkatkan kehadiran responden ke sekolah.
3.2    Persoalan Kajian
1.      Adakah subjek kajian mengalami masalah ketidakhadiran dan apakah punca-puncanya?
2.      Sejauhmanakah keberkesanan penggunaan token dalam meningkatkan kehadiran subjek kajian ke sekolah?

4.0   KUMPULAN SASARAN
Kajian ini telah dijalankan di Sekolah A dan melibatkan murid-murid daripada Kelas Integrasi Pendidikan Khas. Kelas tersebut mempunyai 9 orang murid yang terdiri daripada 7 orang murid lelaki dan 2 orang murid perempuan. Dari aspek pencapaian, terdapat murid yang tinggi, sederhana dan rendah pencapaiannya. 2 daripada 9  orang murid telah dijadikan responden bagi kajian ini. Jadual 3 di bawah merupakan butiran yang berkaitan dengan kumpulan sasaran dalam kajian ini:

Jadual 3 :Kumpulan sasaran penyelidikan tindakan
Bilangan sasaran
2 daripada 9 orang murid
Jantina
1 orang lelaki
1 orang perempuan
Umur
13 tahun
13 tahun
Prestasi akademik
Murid-murid ini merupakan murid yang aktif dalam kelas. Murid ini mempunyai masalah dalam penyebutan kosa kata pinjaman bahasa Inggeris.
Ciri-ciri Unik
Murid X
-       Murid ini sangat aktif berkomunikasi di dalam kelas.
-       Murid ini kerap tidak hadir ke sekolah.
Murid Y
-       Murid ini dapat mendengar arahan dengan baik.
-       Murid ini kerap tidak hadir ke sekolah.

            Subjek kajian yang dipilh terdiri daripada 2 orang murid Orang Asli yang sedang belajar di Kelas Pendidikan Khas. Salah seorang daripadanya adalah murid lelaki dan seorang lagi ialah murid perempuan. Kedua-dua mereka berumur 13 tahun dan tahun hadapan akan dimasukkan ke sekolah menengah. Kedua-dua murid ini sangat aktif dalam mengikuti segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran, dimana murid lelaki sangat aktif bersukan manakala murid perempuan pula sangat aktif bercakap dan menyanyi. Namun demikian, kedua-dua murid berkenaan menghadapi masalah dalam penyebutan kosa kata pinjaman bahasa Inggeris. Salah satu sebab murid tidak dapat mengikuti pelajaran di sekolah adalah disebabkan kekerapan mereka yang selalu tidak hadir ke sekolah. Oleh itu, kedua-dua subjek ini dipilih bagi perlaksanaan kajian tindakan agar mereka tidak keciciran dalam pendidikan.

5.0  PELAKSANAAN KAJIAN / TINDAKAN YANG DICADANGKAN

5.1       Prosuder Tindakan
Berdasarkan pemerhatian awal yang telah dilakukan, beberapa langkah untuk memperbaiki masalah ketidakhadiran murid yang telah dikenal pasti telah dirangka. Pengkaji telah mengambil keputusan untuk mengumpul data daripada Jadual Kedatangan Murid Kelas Integrasi Pendidikan Khas. Selain itu, pengkaji telah merancang langkah-langkah bagi cara-cara pengumpulan data.

5.2       Kaedah Pengumpul Data
Bagi menjalankan kajian ini, pengkaji telah menggunakan beberapa jenis instrumen. Instrumen-instrumen yang telah digunakan ialah ujian pra dan ujian pos, soal selidik, senarai semak dan pemerhatian.

        i.            Temu Bual Berstruktur
Temu bual berstruktur telah dijalankan bagi mengenalpasti sama ada masalah murid-murid Orang Asli ini dapat diselesaikan atau tidak. Ibu bapa anak-anak Orang Asli ini hanya perlu  menjawab ‘Ya’ atau ‘Tidak’ bagi setiap jawapan yang disoal.

      ii.            Pemerhatian
Pemerhatian yang akan pengkaji lakukan ialah pemerhatian secara langsung. Pengkaji akan membuat pemerhatian sepanjang minggu dan akhir bulan bagi mendapatkan kekerapan kehadiran murid. Pengkaji akan memerhati kekerapan murid hadir ke sekolah berbanding dulu bagi tujuan ini Borang Pemerhatian akan digunakan. Lim (2000) menyatakan bahawa borang pemerhatian sangat penting kerana borang pemerhatian adalah satu dokumen yang disediakan untuk merekod apa yang diperhatikan secara sistematik dan teratur.



    iii.            Soal Selidik
Soal selidik ialat alat ukur yang paling popular dalam kajian tindakan terhadap sesuatu masalah. Soal selidik yang digunakan dalam kajian ini biasanya disediakan oleh penyelidik. Soal selidik yang disediakan adalah beberapa soalan yang berkaitan dengan ketidakhadiran subjek kajian ke sekolah.

5.3       Perancangan Cara Menganalisis Data

Pengkaji telah merancang cara menganalisis data untuk setiap instrumen yang disediakan. Jadual 4 menunjukkan cara menganalisis data dalam kajian ini:

Jadual 4 : Perancangan cara menganalisis data
Bil.
Cara Mengumpul Data
Cara Menganalisis Data
1.
Pemerhatian
Data dikumpulkan bagi memerhatikan kekerapan kehadiran murid.
2.
Temu bual berstruktur
Data akan ditukar menjadi peratus untuk dianalisis.
3.
Soal selidik
Kajian soal selidik yang akan dijalankan oleh pengkaji adalah berentuk soalan soal selidik berkenaan punca ketidakhadiran murid Orang Asli.








5.4       Perlaksanaan Intervensi
Token Ekonomi
            Sistem token ekonomi merupakan satu bentuk menggunakan pendekatan peneguhan tingkah laku positif yang mudah dilaksanakan di sekolah terutamanya di kelas pendidikan khas. Dengan menggunakan sistem token ekonomi ini, tingkah laku positif murid-murid akan dipertingkatkan. Setiap kali murid berkenaan berkelakuan baik atau menunjukkan tingkah laku positif, maka dia akan mendapat ganjaran seperti bintang, pelekat, gambar, setem dan lain-lain Sekirannya murid berjaya mendapat jumlah token tertentu, maka token-token tersebut boleh ditebus untuk sesuatu hadiah atau pun sesuatu aktiviti yang digemarinya.
Secara tidak langsung, tingkah laku positif murid berkenaan akan diperkukuhkan lagi sekiranya guru memberitahunya bahawa kenapa dia yang layak mendapatkan token-token tersebut. Tindakan ini akan memotivasikan lagi murid berkenaan untuk menunjukkan tingkah laku yang positif. Antara item-item yang disyorkan sebagai token ekonomi ialah:-
-       Bintang
-       Smiley
-       Setem
-       Pelekat dan sebagainya
Item-item yang tersenarai di atas boleh ditampal ke atas kertas, kad rekod, atau carta. Sistem ekonomi token ini berkesan kerana menu ganjaran merupakan ransangan yang menarik dan dikejar-kejar oleh murid secara individu. Jadual 2 di bawah menunjukkan respons untuk memperoleh token dan contoh menu ganjaran untuk menebus nilai token dalam membentuk tingkah laku pembelajaran:
Jadual 8: Respons untuk memperoleh token
Respons untuk memperoleh token bagi seminggu.
Kehadiran Respons
Kehadiran
Token
ISNIN
/

1
SELASA
/

1
RABU
0

-
KHAMIS
/

1
JUMAAT
0

-
JUMLAH
3

3

Contoh menu ganjaran:
Ganjaran Bagi Sebulan
Bil. token
Jumlah Hadiah
Minggu Pertama
3
-
Minggu Kedua
8
1
Minggu Ketiga
12
2
Minggu Keempat
15
3
Sebulan
17
3

Pengkaji akan menampal sebuah jadual seperti Jadual 8 diatas bagi di dalam bilik darjah Murid X dan Y. Tujuan jadual tersebut adalah bagi mencatat kehadiran subjek kajian bagi memperoleh token. Jika murid hadir ke sekolah, murid berkenaan berhak menerima token dan jika murid dapat mengumpul 5 token murid berkenaan akan menerima hadiah. Guru akan memberikan token bagi setiap kehadiran murid dan jika murid dapat mengumpul 15 token dalam sebulan bermakna murid berkenaan berhak mendapat 3 hadiah iaitu 5 token dapat 1 hadiah. Walaupun Murid X atau Y hadir secara berkala seperti datang 4 hari dalam seminggu dan minggu berikutnya murid dapat memenuhkan kehadiran kepada 5 hari, murid berkenaan akan menerima hadiah pada hari keenam apabila Murid X atau Y tersebut hadir ke sekolah.
            Kajian ini akan dijalankan bagi tempoh sebulan dan dapatannya akan direkod bagi menilai keberkesanan penggunaan token ekonomi. Jika kajian ini mengalami kegagalan guru terpaksa menjalankan refleksi kendiri dan merancang semula perlaksanaan intervensi bagi mengurangkan ketidakhadiran murid berkenaan.

5.5       Jadual Pelaksanaan Kajian Tindakan
Jadual 5 di bawah menunjukkan jadual pelaksanaan penyelidikan tindakan:

Jadual 5 : Jadual pelaksanaan kajian tindakan
Bil.
Aktiviti
Tarikh
1.
Mengenal pasti masalah
Pemerhatian
-       Dilakukan semasa sesi persekolahan kanak-kanak pendidikan khas di dalam Kelas Integrasi Pendidikan Khas.
Sejak Awal Tahun 2014
2.
Pengumpulan data tinjauan awal

Data Analisis Jadual Kedatangan Murid Bulan Januari hingga Jun  2014
3.
Menentukan objektif/soalan kajian
-       Penentuan objektif kajian
29 Jun 2014
4.
Merancang tindakan
-       Merancang langkah tindakan dengan cara mengumpul data
30 Jun 2014
5.
Menulis proposal kajian
30 Jun 2014
6.
Melaksanakan tindakan
Jan hingga Mac 2015
7.
Menganalisis tindakan
Mac 2015
8.
Membuat refleksi
April 2015
9.
Menulis laporan kajian
April 2015

5.6       Kos Kajian
Kos kajian ini melibatkan kos menyediakan soalan semasa tinjauan awal dlakukan. Jadual 6 di bawah adalah kos yang dijangkakan.


Jadual 6 : Kos Kajian
Bil.
Bahan
Bilangan Unit
Harga Seunit (RM)
Jumlah Harga (RM)
1.
Kertas A4
1
RM9.90
RM9.90
2.
Pengangkutan ke rumah Orang Asli.
3kali perjalanan pergi dan balik
RM10.00 x 3
RM30.00
3.
Buah Tangan Untuk Tok Batin
1
RM30.00
RM30.00
JUMLAH KESELURUHAN
RM69.90



Rujukan
Abdul Razaq Ahmad dan Zalizan Mohd Jelas. (2009). Masyarakat Orang Asli:
Perspektif Pendidikan dan Sosiobudaya. Kuala Lumpur: UKM. 

B. F. Skinner (1904–1990), Behavioral Analysis, Social Service, Educational Reform.

Md Nor. ( 2011). “Dropout Prevention Initiatives for Malaysian Indigenous
Orang Asli Children”; Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Ministry of Education.

Mok Soon Sang. (2006), Ilmu Pendidikan. Psikologi Pendidikan & Pedagogi, Subang Jaya:
                  Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Pengurusan tingkah laku, Retrieved 17 July 2014 from             

Teknik-teknik modifikasi tingkah laku. (n.d.). Retrieved 17 July 2014 from --             

Teknik modifikasi tingkah laku. (n.d.). Retrieved f 13 July 2014 rom                 

Pengurusan tingkah laku, Retrieved 17 July 2014 from             

Teori Pembelajaran Modifikasi Tingkah Laku.(n.d.).Retreived on 16 Ogos 2014 from

Yatimah Sarmani & Tajudin Lingal. (2005). Teori Kaunseling Al-Ghazali. Kuala Lumpur: Utusan
                  Publication & Distributor Sdn. Bhd.


No comments:

Post a Comment